Thursday, February 15, 2018

Merokok itu biasa?

Semakin ramai yang merokok dalam kalangan remaja! 

Petikan dari Utusan Borneo


RAMAI remaja terus merokok walaupun mendapati ia tidak menyeronokkan malah sedar akan bahayanya terhadap orang lain.
Mereka terus mengamalkan tabiat berbahaya dan membazir itu atas sebab-sebab yang tidak boleh diterima akal seperti kebosanan dan keperluannya untuk melepak dengan kawan-kawan.
Begitu juga dengan kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang didedahkan oleh pakar berhenti merokok Swinder Jit Jag Singh.
Sesetengahnya menyalahkan tabiat buruk itu terhadap tekanan, tetapi punca tekanan yang dimaksudkan adalah tidak munasabah, antaranya, ketidakmampuan membeli peralatan terkini seperti iPhone, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan ke atas 143 remaja di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan majoriti melihat merokok sebagai sesuatu yang normal.
Ramai yang menganggapnya perkara biasa, malah berani merokok di depan pintu pagar sekolah mereka.
Mereka biasa melihat sama ada ahli keluarga mereka atau anggota masyarakat yang lain merokok, jadi pada mereka ia adalah perkara biasa.
Akses pada rokok juga mudah. Walaupun ada undang-undang, tetapi apabila ditanya, mereka kata mudah sahaja untuk membeli rokok di gerai tepi jalan, kedai runcit atau pasar raya,” katanya.
Kaji selidik seterusnya mendapati 70 peratus daripada kumpulan itu mula merokok dalam lingkungan umur 12 ke 15 tahun.
Lapan puluh lima peratus daripada remaja terlibat mengetahui bahawa merokok boleh menyebabkan kanser, manakala 83 peratus pula menyedari bahawa perbuatan mereka turut membahayakan kesihatan orang di sekeliling.
Selain itu, 84.6 peratus daripada mereka bersetuju bahawa merokok membazirkan wang dan hampir 60 peratus mengakui bahawa merokok bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
Mereka mengakui bahawa merokok adalah tindakan bodoh, tetapi tidak tahu mengapa terus melakukannya,” kata Swinder, yang kini mengendalikan program pencegahan kanser untuk remaja.
PERLU DIBENDUNG
Program enam bulan kelolaan NCSM itu membabitkan 322 perokok remaja di sekitar Lembah Klang, dan berlangsung sejak Februari lepas sehingga Ogos ini.
Program itu bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya kanser dan membantu golongan remaja berhenti tabiat merokok.
Swinder berkata, ada dalam kalangan remaja yang ditemuinya merokok untuk melepaskan tekanan akibat konflik keluarga seperti perceraian ibu bapa, namun bilangannya terlalu kecil.
Ramai juga yang merokok kerana terikut-ikut dengan kawan.
Kita kena banyak sabar bila berurusan dengan remaja, kena berlembut dan tunjukkan yang kita memang betul-betul nak bantu dia.
Kalau niat kita baik, nak bantu dia, dia pun boleh rasa,” kata Swinder.
Selain ceramah, sebahagian besar kandungan program adalah sesi kaunseling berkumpulan.
Menerusi sesi itu, beliau dapat memahami peserta dengan lebih baik dan menggalakkan mereka untuk saling membantu.
Bagaimanapun katanya, berurusan dengan perokok tegar memerlukan pendekatan berbeza.
Biasanya saya akan meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka secara peribadi di kantin sekolah mereka.
Cakap lembut-lembut dengan dia dan buat dia rasa istimewa daripada orang lain,” dedah jururawat kanan yang juga pakar kaunseling berdaftar itu.
Tahun ini adalah kali kedua program seumpama dijalankan setelah program perintis pada tahun lepas mencapai kejayaan membanggakan iaitu 64 peratus daripada peserta berjaya berhenti merokok.
Kebanyakan peserta menyertai program itu secara sukarela sekali gus menunjukkan ramai di antara perokok remaja mahu berhenti merokok.
Swinder berkata, tabiat merokok dalam kalangan kumpulan yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak perlu dibendung kerana boleh membawa kepada gejala lain seperti shisha, dadah dan arak.
Ini terbukti menerusi kaji selidik itu yang mendapati 59.8 peratus pernah mencuba shisha, manakala 10 peratus pernah mencuba marijuana atau ganja.
Lapan puluh dua peratus responden juga telah mencuba rokok elektronik atau ‘vaping’.
Beliau percaya, tanpa sokongan masyarakat serta pihak berkuasa, usaha NCSM untuk mengekang remaja merokok tidak akan berhasil.
Seperti yang saya katakan, mudah untuk anak ini mendapatkan bekalan rokok.
Oleh itu, penguatkuasaan perlu lebih agresif dan diperluaskan ke tempat-tempat larangan merokok,” katanya.
Beliau juga merasakan bahawa sokongan guru, khususnya guru kaun-seling, adalah penting.
Swinder mencadangkan agar guru kaunseling dilatih dan diberi kema-hiran untuk membantu perokok agar berhenti daripada tabiat itu.
 Perubahan gaya hidup disyorkan bagi penghidap ‘hiperkolesterolemia’ termasuklah berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat. — Gambar hiasan Bernama
JAGA JANTUNG ANDA: Perubahan gaya hidup disyorkan bagi penghidap ‘hiperkolesterolemia’ termasuklah berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat. — Gambar hiasan Bernama
PEMBUNUH SENYAP
Tabiat merokok sememangnya tidak harus dimulakan kerana pelbagai masalah kesihatan akan timbul khususnya melibatkan jantung.
Peningkatan paras kolesterol dalam badan boleh menjadi pembunuh senyap tanpa menun-jukkan tanda-tanda untuk tempoh berpanjangan, kata pakar perubatan.
Oleh itu, mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kolesterol dan mereka harus menjalani pemeriksaan sekali pada setiap lima tahun, kata Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Jeyamalar Rajadurai.
Kebanyakan mereka yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi tidak menunjukkan tanda-tanda, jadi ramai yang tidak sedar bahawa kandungan kolesterol mereka terlalu tinggi.
Ujian darah akan dilakukan untuk memeriksa tahap kolesterol dalam darah,” kata beliau pada forum interaktif ‘Key Challenges of Managing High Cholesterol for High Risk Patients’ by MSD (dikenali sebagai Merck & Co. di Amerika Syarikat dan Kanada) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan tahap kolesterol, dikenali sebagai ‘hiperkolesterolemia’ dalam sains perubatan, mungkin disebabkan oleh faktor keturunan, lebihan pengeluaran kolesterol dalam hati kerana kurang efisien membuang kolesterol jahat dalam darah.
Perilakuan yang meningkatkan risiko Hiperkolesterolemia termasuk pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, obesiti dan genetik.
Menurut kajian perubatan, keadaan genetik ialah apabila kolesterol boleh diwarisi dan oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang menghadapinya perlu memulakan rutin pemetiksaan seawal usia lima tahun.
Kira-kira satu daripada setiap 500 orang mempunyai masalah diwarisi ini dikenali sebagai ‘familia hypercholesterolemia’ yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol yang sangat tinggi,” kata beliau.
Sementara itu, perunding kanan kardiologi Dr David Quek berkata, perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi mereka yang mengalami ‘hiperkolesterolemia’ termasuk berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat.
Secara purata, pemakanan dan senaman boleh menurunkan tahap kolesterol jahat sebanyak kira-kira 10 peratus dalam badan, sementara ubat-ubatan boleh menurunkan kolesterol jahat sebanyak 20 peratus hingga kepada lebih 50 peratus,” kata beliau.
Beliau berkata, keadaan ‘hiperkolesterolemia’ yang tidak dikawal pada individu boleh menyebabkan pembentukan plak dalam arteri, yang seterusnya boleh membawa kepada letusan plak dalam saluran.
Letusan ini boleh dikaitkan dengan pendarahan dan pembentukan darah beku di saluran-saluran tersebut.
Dari situ, darah beku itu boleh meresap masuk ke dalam saluran darah dalam jisim pepejal yang boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ utama melalui arteri, begitulah cara serangan jantung dan strok berlaku,” kata beliau.
Dr Jeyamalar berkata, ‘hiperkolesterolemia’ tidak boleh diubati tetapi boleh mengurangkan risiko diserang penyakit jantung dan strok dengan mengambil ubat-ubatan.
Untuk membantu menurunkan tahap kolesterol jahat dalam darah, doktor boleh mempreskripsikan pengambilan satu ubat-ubatan atau kombinasi ubat-ubatan.
Ubat-ubatan utama yang menurunkan kolesterol dalam darah termasuk statis, fibrate, resis, niasin dan penebat penyerapan kolesterol.
Apabila seorang pesakit didiagnosis mengalami ‘hiperkolesterolemia’, mereka perlu mengambil ubat tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat global, satu pertiga daripada penyakit jantung iskemik disebabkan oleh kolesterol yang tinggi, yang dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan 29.7 juta kecacatan dalam tahun-tahun kehidupan.
Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat penyakit jantung Iskemik pada 2014 ialah yang tertinggi iaitu pada 13.5 peratus,” kata beliau. — Bernama