Unit Bimbingan dan Kaunseling SETIA telah selesai menjalankan kajian dalam kalangan pelajar Ting 5 SETIA tentang pengetahuan mengenai rokok dan peratus pembabitan dengan rokok dari 1 Jun - 30 Jun 2018.
Didapati 50% responden yang dikaji merupakan perokok.
Diharap dengan data yang ada, Unit PPDa dapat menjalankan aktiviti berimpak tinggi bagi membendung penularan ketagih rokok dalam kalangan warga SETIA.
Berdasarkan graf dan jadual iaitu mengenai pengetahuan am tentang rokok, kesemua responden yang terdiri daripada 30 orang pelajar lelaki Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa mengetahui apa itu rokok. Sebanyak 93.33% iaitu 28 orang tahu bahaya rokok. Seramai 23 orang iaitu 76.67 % pernah memegang puntung rokok. 30% iaitu 9 orang yang pernah membeli rokok untuk ahli keluarga mereka dan seramai 18 orang iaitu 60% yang menyatakan ahli keluarga mereka ada yang menghisap rokok. Manakala seramai 28 orang iaitu sebanyak 93.33% dikalangan rakan-rakan mereka yang merokok.
Seramai 22 orang iaitu 73.33% pelajar yang pernah ingin mencuba untuk merokok pernah mencuba untuk menghisap rokok. 21 orang iaitu 70% pelajar pula yang pernah menghisap rokok. Seramai 15 orang iaitu 50% pelajar yang menyatakan mereka pernah menghisap rokok.
Seramai 3 orang iaitu 10% menyatakan merokok kerana desakan kawan dan rokok penting bagi mereka.Ini juga menunjukkan mereka merokok atas kerelaan sendiri. Seramai 14 orang iaitu 46.67 % menyatakan boleh membeli rokok dengan mudah. Seramai 16 orang iaitu 53.33% responden menyatakan mereka tidak akan melibatkan diri dengan rokok.
Seramai 28 orang responden iaitu 93.33% menyatakan tahu bahawa rokok boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan. Manakala seramai 29 orang iaitu 96.67% bersetuju kandungan asap rokok akan menyebabkan pelbagai penyakit di mulut , kerongkong, paru-paru dan barah. Sebanyak 93.33% iaitu 28 orang bersetuju bahawa salah satu punca utama kanser paru-paru adalah rokok dan merokok merupakan factor utama yang menyebabkan kanser paru-paru.
Sebanyak 27 orang iaitu 90% responden yang tinggal bersama ibubapa. Ini menunjukkan walaupun masih tinggal bersama ibu bapa gejala merokok masih jua berlaku. Sebanyak 73.33 % iaitu 22 orang yang menyatakan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga berbanding rakan-rakan . Seramai 11 orang iaitu 36.67 % menyatakan apabila mereka menghadapi masalh, mereka akan menenangkan diri sendiri dengan merokok. Hanya 6.67 % daripada 30 orang pelajar iaitu 2 orang sahaja menyatakan Ibu bapa mereka tidak pernah melarang mereka menghisap rokok. Selebihnya 93.33 % iaitu 28 orang responden Ibu bapa mereka melarang mereka untuk merokok. Sebanyak 20% iaitu 6 orang yang akan berbuat apa sahaja yang mereka suka walaupun dilarang oleh ibubapa dan juga mereka tidak pernah cuba untuk berhenti merokok.
Bulan April 2018 telah dipilih sebagai bulan HEM dan bulan akademik peringkat sekolah. Pelbagai aktiviti telah dijalankan.
Orang tua-tua kata, badan sihat hati senang, jiwa lapang dan bila jiwa lapang sudah pasti anak-anak Setia akan sentiasa menjauhkan diri dari segala perkara negatif.
RAMAI remaja terus merokok walaupun mendapati ia tidak menyeronokkan malah sedar akan bahayanya terhadap orang lain.
Mereka terus mengamalkan tabiat berbahaya dan membazir itu atas sebab-sebab yang tidak boleh diterima akal seperti kebosanan dan keperluannya untuk melepak dengan kawan-kawan.
Begitu juga dengan kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang didedahkan oleh pakar berhenti merokok Swinder Jit Jag Singh.
Sesetengahnya menyalahkan tabiat buruk itu terhadap tekanan, tetapi punca tekanan yang dimaksudkan adalah tidak munasabah, antaranya, ketidakmampuan membeli peralatan terkini seperti iPhone, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan ke atas 143 remaja di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan majoriti melihat merokok sebagai sesuatu yang normal.
Ramai yang menganggapnya perkara biasa, malah berani merokok di depan pintu pagar sekolah mereka.
“Mereka biasa melihat sama ada ahli keluarga mereka atau anggota masyarakat yang lain merokok, jadi pada mereka ia adalah perkara biasa.
“Akses pada rokok juga mudah. Walaupun ada undang-undang, tetapi apabila ditanya, mereka kata mudah sahaja untuk membeli rokok di gerai tepi jalan, kedai runcit atau pasar raya,” katanya.
Kaji selidik seterusnya mendapati 70 peratus daripada kumpulan itu mula merokok dalam lingkungan umur 12 ke 15 tahun.
Lapan puluh lima peratus daripada remaja terlibat mengetahui bahawa merokok boleh menyebabkan kanser, manakala 83 peratus pula menyedari bahawa perbuatan mereka turut membahayakan kesihatan orang di sekeliling.
Selain itu, 84.6 peratus daripada mereka bersetuju bahawa merokok membazirkan wang dan hampir 60 peratus mengakui bahawa merokok bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
“Mereka mengakui bahawa merokok adalah tindakan bodoh, tetapi tidak tahu mengapa terus melakukannya,” kata Swinder, yang kini mengendalikan program pencegahan kanser untuk remaja.
PERLU DIBENDUNG
Program enam bulan kelolaan NCSM itu membabitkan 322 perokok remaja di sekitar Lembah Klang, dan berlangsung sejak Februari lepas sehingga Ogos ini.
Program itu bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya kanser dan membantu golongan remaja berhenti tabiat merokok.
Swinder berkata, ada dalam kalangan remaja yang ditemuinya merokok untuk melepaskan tekanan akibat konflik keluarga seperti perceraian ibu bapa, namun bilangannya terlalu kecil.
Ramai juga yang merokok kerana terikut-ikut dengan kawan.
“Kita kena banyak sabar bila berurusan dengan remaja, kena berlembut dan tunjukkan yang kita memang betul-betul nak bantu dia.
“Kalau niat kita baik, nak bantu dia, dia pun boleh rasa,” kata Swinder.
Selain ceramah, sebahagian besar kandungan program adalah sesi kaunseling berkumpulan.
Menerusi sesi itu, beliau dapat memahami peserta dengan lebih baik dan menggalakkan mereka untuk saling membantu.
Bagaimanapun katanya, berurusan dengan perokok tegar memerlukan pendekatan berbeza.
“Biasanya saya akan meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka secara peribadi di kantin sekolah mereka.
“Cakap lembut-lembut dengan dia dan buat dia rasa istimewa daripada orang lain,” dedah jururawat kanan yang juga pakar kaunseling berdaftar itu.
Tahun ini adalah kali kedua program seumpama dijalankan setelah program perintis pada tahun lepas mencapai kejayaan membanggakan iaitu 64 peratus daripada peserta berjaya berhenti merokok.
Kebanyakan peserta menyertai program itu secara sukarela sekali gus menunjukkan ramai di antara perokok remaja mahu berhenti merokok.
Swinder berkata, tabiat merokok dalam kalangan kumpulan yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak perlu dibendung kerana boleh membawa kepada gejala lain seperti shisha, dadah dan arak.
Ini terbukti menerusi kaji selidik itu yang mendapati 59.8 peratus pernah mencuba shisha, manakala 10 peratus pernah mencuba marijuana atau ganja.
Lapan puluh dua peratus responden juga telah mencuba rokok elektronik atau ‘vaping’.
Beliau percaya, tanpa sokongan masyarakat serta pihak berkuasa, usaha NCSM untuk mengekang remaja merokok tidak akan berhasil.
“Seperti yang saya katakan, mudah untuk anak ini mendapatkan bekalan rokok.
“Oleh itu, penguatkuasaan perlu lebih agresif dan diperluaskan ke tempat-tempat larangan merokok,” katanya.
Beliau juga merasakan bahawa sokongan guru, khususnya guru kaun-seling, adalah penting.
Swinder mencadangkan agar guru kaunseling dilatih dan diberi kema-hiran untuk membantu perokok agar berhenti daripada tabiat itu.
JAGA JANTUNG ANDA: Perubahan gaya hidup disyorkan bagi penghidap ‘hiperkolesterolemia’ termasuklah berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat. — Gambar hiasan Bernama
PEMBUNUH SENYAP
Tabiat merokok sememangnya tidak harus dimulakan kerana pelbagai masalah kesihatan akan timbul khususnya melibatkan jantung.
Peningkatan paras kolesterol dalam badan boleh menjadi pembunuh senyap tanpa menun-jukkan tanda-tanda untuk tempoh berpanjangan, kata pakar perubatan.
Oleh itu, mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kolesterol dan mereka harus menjalani pemeriksaan sekali pada setiap lima tahun, kata Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Jeyamalar Rajadurai.
“Kebanyakan mereka yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi tidak menunjukkan tanda-tanda, jadi ramai yang tidak sedar bahawa kandungan kolesterol mereka terlalu tinggi.
“Ujian darah akan dilakukan untuk memeriksa tahap kolesterol dalam darah,” kata beliau pada forum interaktif ‘Key Challenges of Managing High Cholesterol for High Risk Patients’ by MSD (dikenali sebagai Merck & Co. di Amerika Syarikat dan Kanada) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan tahap kolesterol, dikenali sebagai ‘hiperkolesterolemia’ dalam sains perubatan, mungkin disebabkan oleh faktor keturunan, lebihan pengeluaran kolesterol dalam hati kerana kurang efisien membuang kolesterol jahat dalam darah.
“Perilakuan yang meningkatkan risiko Hiperkolesterolemia termasuk pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, obesiti dan genetik.
“Menurut kajian perubatan, keadaan genetik ialah apabila kolesterol boleh diwarisi dan oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang menghadapinya perlu memulakan rutin pemetiksaan seawal usia lima tahun.
“Kira-kira satu daripada setiap 500 orang mempunyai masalah diwarisi ini dikenali sebagai ‘familia hypercholesterolemia’ yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol yang sangat tinggi,” kata beliau.
Sementara itu, perunding kanan kardiologi Dr David Quek berkata, perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi mereka yang mengalami ‘hiperkolesterolemia’ termasuk berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat.
“Secara purata, pemakanan dan senaman boleh menurunkan tahap kolesterol jahat sebanyak kira-kira 10 peratus dalam badan, sementara ubat-ubatan boleh menurunkan kolesterol jahat sebanyak 20 peratus hingga kepada lebih 50 peratus,” kata beliau.
Beliau berkata, keadaan ‘hiperkolesterolemia’ yang tidak dikawal pada individu boleh menyebabkan pembentukan plak dalam arteri, yang seterusnya boleh membawa kepada letusan plak dalam saluran.
“Letusan ini boleh dikaitkan dengan pendarahan dan pembentukan darah beku di saluran-saluran tersebut.
“Dari situ, darah beku itu boleh meresap masuk ke dalam saluran darah dalam jisim pepejal yang boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ utama melalui arteri, begitulah cara serangan jantung dan strok berlaku,” kata beliau.
Dr Jeyamalar berkata, ‘hiperkolesterolemia’ tidak boleh diubati tetapi boleh mengurangkan risiko diserang penyakit jantung dan strok dengan mengambil ubat-ubatan.
“Untuk membantu menurunkan tahap kolesterol jahat dalam darah, doktor boleh mempreskripsikan pengambilan satu ubat-ubatan atau kombinasi ubat-ubatan.
“Ubat-ubatan utama yang menurunkan kolesterol dalam darah termasuk statis, fibrate, resis, niasin dan penebat penyerapan kolesterol.
“Apabila seorang pesakit didiagnosis mengalami ‘hiperkolesterolemia’, mereka perlu mengambil ubat tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat global, satu pertiga daripada penyakit jantung iskemik disebabkan oleh kolesterol yang tinggi, yang dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan 29.7 juta kecacatan dalam tahun-tahun kehidupan.
“Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.
“Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat penyakit jantung Iskemik pada 2014 ialah yang tertinggi iaitu pada 13.5 peratus,” kata beliau. — Bernama
Ramai di kalangan kita terutamanya ibubapa sering bimbang mengenai penyalahgunaan dadah seperti ecstasy, ganja, ‘syabu’ dan lain-lain di kalangan anak-anak kita terutamanya yang berusia remaja. Akan tetapi kita biasanya terlupa malah tidak menyedari, atau mengabaikan kemungkinan terdapat penyalahgunaan produk-produk yang biasa digunakan di rumah dengan cara menghidu atau menyedut wapnya. Produk-produk ini kebiasaannya dianggap sebagai tidak merbahaya akan tetapi sebenarnya produk-produk ini mengandungi bahan pelarut organik beracun, yang apabila dihidu atau disedut wapnya akan menyebabkan ketagihan, atau berpotensi mengakibatkan kematian secara tiba-tiba.
Kegiatan menghidu bahan-bahan ini, kebanyakannya gam, sering melibatkan golongan remaja termasuk kanak-kanak berusia antara 10 hingga 18 tahun, demikian menurut pihak polis yang telah dapat mengesan kegiatan ini di Perak. Pada pertengahan tahun 2001, masyarakat Malaysia dikejutkan pula dengan berita kematian beberapa orang pelatih Pusat Serenti Sungai Ruan, Raub, Pahang. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pahang, penyakit yang menyerang pelatih tersebut berpunca daripada perbuatan mereka menghidu bahan kimia seperti gam, “thinner” dan petrol secara berterusan untuk menghilangkan ketagih.
Apakah inhalan?
Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan adalah bahan mudah meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau merangsangkan perubahan minda. Umumnya, inhalan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:
1. Pelarut Mudah Meruap
Merupakan cecair yang akan meruap pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen.
2. Bahan gas
Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur rambut dan penyembur pelindung fabrik.
3. Bahan Nitrit
Merupan sejenis bahan sedutan yang sering digunakan sebagai pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.
Inhalan seringkali dipilih oleh penagih kerana ianya mudah didapati, harganya pun murah, serta penggunaannya mudah disembunyikan atau dielakkan dari pengetahuan orang lain. Selain itu, bahan ini berupaya memberikan kesan-kesan yang diingini penagih seperti rasa tenteram dan selesa yang berlebih-lebihan yang dipercayai dapat mengurangkan tekanan hidup penagih, serta boleh menimbulkan perasaan khayal yang cepat dan berulang kali. Golongan remaja yang menagih juga akan lebih mudah diterima kumpulan rakan sebaya yang terlibat dalam aktiviti yang serupa.
Cara Penggunaan
Wap bahan ini biasanya dihidu melalui hidung atau disedut melalui mulut. Selain bahan inhalan yang tersenarai, penagih juga berkemungkinan menggunakan bahan lain bersama seperti arak, dan ini akan meningkatkan risiko terjadinya kesan yang lebih teruk. Hampir semua inhalan (kecuali bahan nitrit) yang disalahgunakan bertindak di otak dengan menekan fungsi sistem saraf pusat dan menghasilkan kesan yang seakan sama dengan kesan pengambilan arak (alkohol), ubat tidur dan agen bius. Terdapat satu kajian terbaru yang menunjukkan toluin iaitu sejenis pelarut yang didapati dalam gam, cat semburan, dan penanggal cat, boleh mengaktifkan sistem dopamina dalam otak sama seperti tindakan yang dihasilkan oleh dadah-dadah yang sudah lama dikenali seperti heroin, candu, dan lain-lain lagi.
Bahan nitrit pula sebaliknya tidak bertindak terus ke atas sistem saraf pusat seperti kebanyakan inhalan yang lain, akan tetapi bahan ini secara asasnya bertindak membesarkan saluran darah dan merehatkan otot.
Kesan-kesan
Kebanyakan inhalan bentuk pelarut dan gas akan menyebabkan penagih berasa khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat meminum alkohol yang banyak. Perasaan khayal ini biasanya berlaku selama 15 hingga 45 minit dan akan berterusan sehingga satu hingga dua jam. Sekiranya kuantiti atau kepekatan inhalan itu tinggi, penagih mungkin hilang deria rasa, dan seterusnya tidak sedarkan diri.
Sekiranya wap inhalan disedut dengan kuat dan dalam, atau digunakan dengan banyak dalam tempoh yang singkat, seseorang itu akan hilang kawalan diri, berkelakuan agresif, tidak sedarkan diri, atau mati. Seiringan itu, penagih juga akan berasa loya dan muntah. Jika muntah terjadi ketika pengsan, kematian boleh berlaku akibat tersedak dan kesesakan nafas.
Seandainya inhalan yang dihidu berkepekatan tinggi, kegagalan jantung dan kematian mengejut boleh terjadi. Hiduan boleh membunuh walau pun kali pertama atau pun hiduan seterusnya. Inhalan yang pekat menyebabkan kesesakan nafas akibat kekurangan oksigen. Selain itu, penekanan sistem saraf pusat yang serius boleh melambatkan dan seterusnya menghentikan proses pernafasan.
Seperti penagih benda-benda lain, inhalan boleh mengakibatkan pergantungan fizikal dan psikologi kepada penagih jika digunakan untuk beberapa hari atau lebih. Penagihan yang berterusan dalam jangkamasa panjang boleh mengakibatkan kerosakan sel-sel otak yang kekal. Penagih akan hilang daya tumpuan, mudah marah, hilang ingatan, mengalami kekeliruan serta kemurungan. Selain itu, selera makan serta berat badan penagih turut merosot. Penagih juga akan mengalami keletihan serta kawalan pergerakan badan akan turut terjejas.
Sebahagian inhalan juga boleh merosakkan organ-organ utama badan seperti paru-paru, hati, buah pinggang, darah dan sum-sum tulang. Bahan nitrit yang disedut bertindak membesarkan salur darah, meningkatkan kadar degupan jantung dan menghasilkan keseronokan yang mampu bertahan selama beberapa minit sahaja. Kesan-kesan lain adalah rasa panas, pening dan sakit kepala. Bahan nitrit dipercayai berupaya menambahkan keseronokan dan keupayaan seksual.
Bahaya bahan-bahan kimia yang terdapat dalam kebanyakan inhalan
Didapati dalam
Amil nitrit, Butil nitrit
Poppers, Climax, Rush
Benzene
Minyak petrol
Butane, Propane
Cecair pemetik api, semburan cat dan rambut
Metilena klorida
Penanggal/penipis cat, penyahgris
Nitrous oksida,
Krim ‘whipping’, tangki gas
Toluin
Minyak petrol,gam, penanggal/penipis cat, cecair pemadam
Trikloroetilena
Penanggal kotoran, penyahgris, cecair pemadam
Heksana
Gam, Minyak petrol
Kesan
Kematian mengejut kerana dihidu, ketahanan badan berkurang, kerosakan sel darah merah.
Kerosakan sum-sum tulang, ketahanan badan berkurang, risiko penyakit leukemia bertambah, kerosakan sistem pembiakan, kematian mengejut melalui kesan ke atas jantung, kesan terbakjar yang teruk.
Mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen, perubahan otot dan denyutan jantung.
Kematian akibat kurang oksigen di otak, pengsan, fungsi jantung terjejas.
Kerosakan otak (hilang kewarasan fikiran dan keseimbangan badan, hilang penglihatan dan pendengaran), hati dan buah pinggang.
Kemamatian mengejut akibat dihidu, sirosis hati, kerosakan pendengaran dan penglihatan, komplikasi sistem pembiakan, kekejangan anggota badan, kebas.
Mengenal penagih inhalan
Anggota masyarakat yang rapat dengan golongan remaja terutamanya ibu bapa, rakan sebaya dan guru perlu memainkan peranan yang utama dalam membanteras kegiatan merbahaya ini. Oleh itu, adalah penting untuk mengenali tanda-tanda awal penagihan inhalan supaya langkah-langkah pencegahan dapat dimulai sebelum terlambat.
Tanda-tanda berikut boleh membantu para ibubapa, rakan sebaya, dan guru mengesyakki atau mengesan penagihan inhalan di kalangan anak-anak, rakan-rakan dan murid-murid:
Terdapat bau bahan kimia pada nafas, badan, pakaian dan di bilik tidur
Kesan cat atau bahan seumpamanya di kawasan muka, tangan, atau pakaian
Terdapat bintik-bintik merah dan pecah-pecah di sekitar mulut dan hidung
Mata seringkali kelihatan berair, merah dan berkaca, serta hidung berair
Terdapat bekas-bekas cat atau pelarut serta kain buruk atau pakaian yang telah dicelup dengan bahan tersebut yang cuba disembunyikan di dalam laci atau almari di bilik tidur
Remaja tersebut seringkali mengalami loya-loya, hilang selera makan, pertuturan yang kurang jelas, serta kelihatan tidak terurus
Remaja terbabit kelihatan mengalami kurang daya tumpuan, mudah marah dan murung.
Langkah Pencegahan
Menghidu atau menyedut inhalan BOLEH MEMBUNUH walau hanya dengan sekali sedutan atau hiduan sahaja. Oleh itu ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang merupakan pendamping utama remaja perlulah melakukan sesuatu agar masalah ini dapat dicegah seawal mungkin. Antara yang dapat dilakukan adalah:
Sentiasa sedar, waspada serta mengambil tahu tentang masalah ini dengan cara mendapatkan maklumat lanjut tentang penagihan bahan sedutan, jenis bahan yang sering disalahgunakan, dan cara-cara untuk mengesan masalah ini sekiranya terjadi di kalangan anak-anak, anak murid atau rakan-rakan anda
Pastikan anak-anak, anak murid atau rakan-rakan anda mengetahui tentang bahaya-bahaya merokok, minum arak, penyalahgunaan dadah serta inhalan.
Elakkan membeli produk-produk yang mudah disalahgunakan seperti bahan pelarut dan produk-produk berasaskan bahan pelarut, gas, minyak petrol dan aerosol. Usahakan untuk mendapatkan produk-produk alternatif yang berasaskan air sekiranya ada.
Sentiasa awasi mengenai kuantiti produk yang telah digunakan, sekiranya kuantiti yang digunakan agak banyak, soal dan lakukan penyiasatan lanjut
Sekiranya anda mensyaki sebarang perubahan tingkah laku anak atau rakan anda, tanya dan cakap dengan mereka mengenai perkara yang membimbangkan anda. Jangan tangguhkan untuk berdepan dengan mereka.
Elakkan sikap ‘tidak apa’- Ingatlah bahawa satu sedutan atau hiduan mungkin akan membunuh orang tersayang