Showing posts with label vape. Show all posts
Showing posts with label vape. Show all posts

Thursday, February 15, 2018

Merokok itu biasa?

Semakin ramai yang merokok dalam kalangan remaja! 

Petikan dari Utusan Borneo


RAMAI remaja terus merokok walaupun mendapati ia tidak menyeronokkan malah sedar akan bahayanya terhadap orang lain.
Mereka terus mengamalkan tabiat berbahaya dan membazir itu atas sebab-sebab yang tidak boleh diterima akal seperti kebosanan dan keperluannya untuk melepak dengan kawan-kawan.
Begitu juga dengan kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang didedahkan oleh pakar berhenti merokok Swinder Jit Jag Singh.
Sesetengahnya menyalahkan tabiat buruk itu terhadap tekanan, tetapi punca tekanan yang dimaksudkan adalah tidak munasabah, antaranya, ketidakmampuan membeli peralatan terkini seperti iPhone, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan ke atas 143 remaja di sekitar Kuala Lumpur menunjukkan majoriti melihat merokok sebagai sesuatu yang normal.
Ramai yang menganggapnya perkara biasa, malah berani merokok di depan pintu pagar sekolah mereka.
“Mereka biasa melihat sama ada ahli keluarga mereka atau anggota masyarakat yang lain merokok, jadi pada mereka ia adalah perkara biasa.
“Akses pada rokok juga mudah. Walaupun ada undang-undang, tetapi apabila ditanya, mereka kata mudah sahaja untuk membeli rokok di gerai tepi jalan, kedai runcit atau pasar raya,” katanya.
Kaji selidik seterusnya mendapati 70 peratus daripada kumpulan itu mula merokok dalam lingkungan umur 12 ke 15 tahun.
Lapan puluh lima peratus daripada remaja terlibat mengetahui bahawa merokok boleh menyebabkan kanser, manakala 83 peratus pula menyedari bahawa perbuatan mereka turut membahayakan kesihatan orang di sekeliling.
Selain itu, 84.6 peratus daripada mereka bersetuju bahawa merokok membazirkan wang dan hampir 60 peratus mengakui bahawa merokok bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
“Mereka mengakui bahawa merokok adalah tindakan bodoh, tetapi tidak tahu mengapa terus melakukannya,” kata Swinder, yang kini mengendalikan program pencegahan kanser untuk remaja.
PERLU DIBENDUNG
Program enam bulan kelolaan NCSM itu membabitkan 322 perokok remaja di sekitar Lembah Klang, dan berlangsung sejak Februari lepas sehingga Ogos ini.
Program itu bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya kanser dan membantu golongan remaja berhenti tabiat merokok.
Swinder berkata, ada dalam kalangan remaja yang ditemuinya merokok untuk melepaskan tekanan akibat konflik keluarga seperti perceraian ibu bapa, namun bilangannya terlalu kecil.
Ramai juga yang merokok kerana terikut-ikut dengan kawan.
“Kita kena banyak sabar bila berurusan dengan remaja, kena berlembut dan tunjukkan yang kita memang betul-betul nak bantu dia.
“Kalau niat kita baik, nak bantu dia, dia pun boleh rasa,” kata Swinder.
Selain ceramah, sebahagian besar kandungan program adalah sesi kaunseling berkumpulan.
Menerusi sesi itu, beliau dapat memahami peserta dengan lebih baik dan menggalakkan mereka untuk saling membantu.
Bagaimanapun katanya, berurusan dengan perokok tegar memerlukan pendekatan berbeza.
“Biasanya saya akan meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka secara peribadi di kantin sekolah mereka.
“Cakap lembut-lembut dengan dia dan buat dia rasa istimewa daripada orang lain,” dedah jururawat kanan yang juga pakar kaunseling berdaftar itu.
Tahun ini adalah kali kedua program seumpama dijalankan setelah program perintis pada tahun lepas mencapai kejayaan membanggakan iaitu 64 peratus daripada peserta berjaya berhenti merokok.
Kebanyakan peserta menyertai program itu secara sukarela sekali gus menunjukkan ramai di antara perokok remaja mahu berhenti merokok.
Swinder berkata, tabiat merokok dalam kalangan kumpulan yang masih dikategorikan sebagai kanak-kanak perlu dibendung kerana boleh membawa kepada gejala lain seperti shisha, dadah dan arak.
Ini terbukti menerusi kaji selidik itu yang mendapati 59.8 peratus pernah mencuba shisha, manakala 10 peratus pernah mencuba marijuana atau ganja.
Lapan puluh dua peratus responden juga telah mencuba rokok elektronik atau ‘vaping’.
Beliau percaya, tanpa sokongan masyarakat serta pihak berkuasa, usaha NCSM untuk mengekang remaja merokok tidak akan berhasil.
“Seperti yang saya katakan, mudah untuk anak ini mendapatkan bekalan rokok.
“Oleh itu, penguatkuasaan perlu lebih agresif dan diperluaskan ke tempat-tempat larangan merokok,” katanya.
Beliau juga merasakan bahawa sokongan guru, khususnya guru kaun-seling, adalah penting.
Swinder mencadangkan agar guru kaunseling dilatih dan diberi kema-hiran untuk membantu perokok agar berhenti daripada tabiat itu.
 Perubahan gaya hidup disyorkan bagi penghidap ‘hiperkolesterolemia’ termasuklah berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat. — Gambar hiasan Bernama
JAGA JANTUNG ANDA: Perubahan gaya hidup disyorkan bagi penghidap ‘hiperkolesterolemia’ termasuklah berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat. — Gambar hiasan Bernama
PEMBUNUH SENYAP
Tabiat merokok sememangnya tidak harus dimulakan kerana pelbagai masalah kesihatan akan timbul khususnya melibatkan jantung.
Peningkatan paras kolesterol dalam badan boleh menjadi pembunuh senyap tanpa menun-jukkan tanda-tanda untuk tempoh berpanjangan, kata pakar perubatan.
Oleh itu, mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kolesterol dan mereka harus menjalani pemeriksaan sekali pada setiap lima tahun, kata Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Jeyamalar Rajadurai.
“Kebanyakan mereka yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi tidak menunjukkan tanda-tanda, jadi ramai yang tidak sedar bahawa kandungan kolesterol mereka terlalu tinggi.
“Ujian darah akan dilakukan untuk memeriksa tahap kolesterol dalam darah,” kata beliau pada forum interaktif ‘Key Challenges of Managing High Cholesterol for High Risk Patients’ by MSD (dikenali sebagai Merck & Co. di Amerika Syarikat dan Kanada) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan tahap kolesterol, dikenali sebagai ‘hiperkolesterolemia’ dalam sains perubatan, mungkin disebabkan oleh faktor keturunan, lebihan pengeluaran kolesterol dalam hati kerana kurang efisien membuang kolesterol jahat dalam darah.
“Perilakuan yang meningkatkan risiko Hiperkolesterolemia termasuk pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, obesiti dan genetik.
“Menurut kajian perubatan, keadaan genetik ialah apabila kolesterol boleh diwarisi dan oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang menghadapinya perlu memulakan rutin pemetiksaan seawal usia lima tahun.
“Kira-kira satu daripada setiap 500 orang mempunyai masalah diwarisi ini dikenali sebagai ‘familia hypercholesterolemia’ yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol yang sangat tinggi,” kata beliau.
Sementara itu, perunding kanan kardiologi Dr David Quek berkata, perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi mereka yang mengalami ‘hiperkolesterolemia’ termasuk berhenti merokok, mengurangkan pengambilan alkohol, meningkatkan aktiviti fizikal dan mengekalkan berat badan yang sihat.
“Secara purata, pemakanan dan senaman boleh menurunkan tahap kolesterol jahat sebanyak kira-kira 10 peratus dalam badan, sementara ubat-ubatan boleh menurunkan kolesterol jahat sebanyak 20 peratus hingga kepada lebih 50 peratus,” kata beliau.
Beliau berkata, keadaan ‘hiperkolesterolemia’ yang tidak dikawal pada individu boleh menyebabkan pembentukan plak dalam arteri, yang seterusnya boleh membawa kepada letusan plak dalam saluran.
“Letusan ini boleh dikaitkan dengan pendarahan dan pembentukan darah beku di saluran-saluran tersebut.
“Dari situ, darah beku itu boleh meresap masuk ke dalam saluran darah dalam jisim pepejal yang boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ utama melalui arteri, begitulah cara serangan jantung dan strok berlaku,” kata beliau.
Dr Jeyamalar berkata, ‘hiperkolesterolemia’ tidak boleh diubati tetapi boleh mengurangkan risiko diserang penyakit jantung dan strok dengan mengambil ubat-ubatan.
“Untuk membantu menurunkan tahap kolesterol jahat dalam darah, doktor boleh mempreskripsikan pengambilan satu ubat-ubatan atau kombinasi ubat-ubatan.
“Ubat-ubatan utama yang menurunkan kolesterol dalam darah termasuk statis, fibrate, resis, niasin dan penebat penyerapan kolesterol.
“Apabila seorang pesakit didiagnosis mengalami ‘hiperkolesterolemia’, mereka perlu mengambil ubat tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat global, satu pertiga daripada penyakit jantung iskemik disebabkan oleh kolesterol yang tinggi, yang dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan 29.7 juta kecacatan dalam tahun-tahun kehidupan.
“Penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.
“Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat penyakit jantung Iskemik pada 2014 ialah yang tertinggi iaitu pada 13.5 peratus,” kata beliau. — Bernama

Wednesday, December 27, 2017

Statistik perokok remaja ...

Sedutan dari laman web imedik.. (http://www.imedik.org/remaja-dan-rokok/)

Image result for perokok remaja malaysia

Tahukah anda kajian mendapati setiap seorang dari tiga pelajar lelaki sekolah menengah melaporkan pernah merokok sekurang-kurangnya sekali seumur hidup? Kajian terkini berhubung status kesihatan rakyat Malaysia menerusi National Health and Morbidity Survey 2015 telah memberi gambaran terhadap keseriusan isu budaya merokok di kalangan remaja Malaysia. Fakta yang kurang mendapat perhatian serius ini harus diberikan fokus yang selayaknya agar kita dapat melihat isu ini dari perspektif yang menyeluruh.
Berikut merupakan antara dapatan kajian semasa berhubung isu ini di Malaysia:
  • 22.8% (4,991,458) dari kalangan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. 43 peratus dari kalangan lelaki merokok, sementara perokok wanita pada kadar yang lebih rendah iaitu 1.4 peratus.
  • Pada tahun 2015, 1 daripada 10 rakyat Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun merokok.
  • Perokok dikalangan pelajar lelaki sekolah menengah adalah 33.2 peratus.
  • Sebuah kajian di salah sebuah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia menunjukkan 11.8 peratus dari kalangan pelajar sekolah rendah pernah terlibat dengan aktiviti merokok dan 3.8% dari kalangan mereka adalah perokok aktif.
  • Sebuah kajian yang dilakukan dikalangan pelajar sekolah menengah di tanah rancangan FELDA menunjukkan kadar pernah merokok yang lebih tinggi iaitu 42.9 peratus berbanding dapatan yang sama di kalangan pelajar Bandar/luar Bandar (20.3 peratus).
  • Tinjauan yang dibuat dikalangan remaja sekolah mengenai keinginan atau hasrat untuk merokok pada masa akan datang menunjukkan 10.7 peratus dari mereka memiliki hasrat tersebut.
  • Penggunaan rokok tanpa asap seperti e-cigarette telah meningkat secara mendadak dari 1.0 peratus pada tahun 2011 kepada 21 peratus pada 2015.
Mengapa Remaja Merokok?
Tidak ada apa yang luar biasa dengan jawapan berhubung sebab remaja hari ini cenderung kepada mencuba budaya merokok. Kajian kualitatif Al-Sadat dan Binns (2008) menunjukkan empat sebab utama – pengaruh rakan sebaya, pendedahan terhadap tabiat merokok dikalangan ibu/bapa, salah faham bahawa merokok dapatmengurangkan stress dan tekanan hidup serta anggapan bahawa merokok merupakan gaya hidup yang hebat. Kajian yang sama juga mendapati pengaruh media turut menyumbang secara tidak langsung kepada tabiat ini.
Kajian juga secara konsisten menunjukkan risiko merokok adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki, remaja yang dating dari kelompok sosioekonomi yang rendah, mempunyai ahli keluarga terdekat yang merokok, serta kefahaman yang kurang terhadap bahaya rokok.
Apa yang menarik, kajian oleh Naing et. Al (2009) menunjukkan pegangan agama yang kuat merupakan antara faktor yang penting dalam melindungi remaja dari terlibat dengan gejala merokok. Oleh itu, adalah tidak menghairankan apabila kajian lain juga mendapati pegangan terhadap agama merupakan antara pendorong seseorang berhenti dari tabiat merokok.
Pencegahan dan Rawatan
Merokok bukan sahaja terbukti sebagai pintu kepada pelbagai masalah kesihatan seperti kanser dan masalah jantung, bahkan American Psychiatric Association menggariskannya sebagai antara bentuk ketagihan (tobacco-related disorder). Menjadikan rokok sebagai penyelesaian kepada masalah tekanan dan stres dikalangan remaja juga menjadikan isu masalah mental dikalangan remaja tidak dapat diurus dengan baik.
Antara langkah praktikal pencegahan dan rawatan adalah seperti berikut:
  1. Peranan ibubapa dan ahli keluarga menjadi contoh dengan menolak budaya merokok dalam keluarga
  2. Pembentukan disiplin dan syakhsiah dari usia seawal mungkin. Ini kerana pengabaian terhadap didikan agama turut menyumbang kepada risiko budaya merokok dikalangan remaja
  3. Kawal pengaruh rakan sebaya dengan mendidik remaja memilih rakan dengan betul dari usia seawal mungkin
  4. Libatkan diri secara aktif dalam pendidikan kesihatan mengenai bahaya rokok pada peringkat keluarga
  5. Pastikan remaja mempunyai kaedah sihat dalam menangani stress dan tekanan hidup
  6. Kawal pengaruh media dalam menularkan budaya merokok dengan membina persepsi negatif terhadap budaya merokok.
  7. Dapatkan khidmat profesional sekiranya sukar memberhentikan diri dari tabuat merokok – klinik berhenti merokok di klinik-klinik kesihatan, terapi gantian nikotin dan talian Quitline berhenti merokok anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.
Proses pembinaan generasi akan datang tidak harus terhalang dengan budaya-budaya tidak sihat yang merencatkan proses transformasi sesebuah negara. Tabiat merokok tidak mencerminkan identiti budaya dan agama kita, bahkan sebenarnya menjadi antara lambang kepada kelemahan sesebuah bangsa yang mudah terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat. Ibubapa dan masyarakat secara umumnya dinasihatkan tidak memandang ringan isu ini melihat kepada peningkatan statistik semasa yang membimbangkan ini akan mencerminkan generasi yang akan terbentuk pada masa akan datang.
Dr Rozanizam ZakariaMBBS (Adelaide), MMed(Psy)(USM)Aktivis I-Medik

Rujukan
  • Institute For Public Health. National Health and Morbidity Survey 2015 – Report on Smoking Status Among Malaysian Adults. Kuala Lumpur; 2015.
  • Al-Sadat, N., & Binns, C. W. (2008). Exploring why girls smoke in Malaysia–a qualitative approach. Asia-Pacific Journal of Public Health/Asia-Pacific Academic Consortium for Public Health, 20, 6-14.
  • Naing NN, Ahmad Z, Musa R, Hamid FRA, Ghazali H, Bakar MHA. Factors related to smoking habits of male adolescents. Tob Induc Dis. 2004; 2(3): 133-40.
  • Norbanee TH, Norhayati MN, Norsa’adah B, Naing NN. Prevalence and factors influencing smoking amongst Malay primary school children in Tumpat, Kelantan. Southeast Asian J Trop Med Public Health 2006; 37(1): 230-5
  • Hock LK, Ghazali SM, Cheong KC, et al. Prevalence and factors associated with smoking intentions among non-smoking and smoking adolescents in Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Asian Pacific J Cancer Prev 2014; 15: 4359-66
  • Lim KH, Sumarni MG, Kee CC, Norhamimah A, Wan Rozita WM, Amal NM. Prevalence of smoking habit and factors related to smoking and nicotine addiction among lower secondary school males. Malaysian J Public Heal Med 2010; 10(1): 28-37.
  • Ministry Of Health Malaysia. Institute for Public Health. The Third National Health and Morbidity Survey (NMHS III) 2006: executive summary. Kuala Lumpur, Malaysia: Ministry of Health Malaysia, 2008. Kuala Lumpur; 2006.
  • Hum, W. L. (2016). A Review of Smoking Research In Malaysia. Med J Malaysia, 71, 29.

Tuesday, February 2, 2016

Jom Kenal Vape



Jom kita kenali Vape.

(Sumber : Rokok Elektronik)


Rokok elektronik adalah nama panggilan kepada alat yang membekalkan dos nikotin dalam bentuk wap dengan memanaskan cecair campuran propylene glycol, glycerol, perasa makanan dan nikotin menjadikannya berbentuk wap dan disedut oleh pengguna. Alat ini memberikan perokok yang ingin berhenti merokok masih mendapatkan dos nikotin dan masih lagi dapat menikmati aktiviti merokok kerana wap yang dikeluarkan adalah kelihatan seumpama asap rokok. Terdapat beberapa nama panggilan untuk rokok elektronik ini termasuklah eRokok, vapor dan e-cig. Namun, oleh kerana panggilan rokok elektronik masih menggunakan perkataan ‘rokok’, ianya masih lagi memberikan stigma kepada masyarakat yang tidak arif mengenainya. Panggilan ‘vapor’ yang bermaksud ‘wap’ adalah lebih ringan diterima masyarakat.
Sejarah
Rokok elektronik pertama sekali diperkenalkan oleh Herbert A. Gilbert pada tahun 1963[1] namun tidak dikomersilkan dan kemudian senyap pada tahun 1967. Rokok elektronik yang pertama digunakan pada masa kini berasal daripada ciptaan ahli farmasi dari negara China, Hon Lik pada tahun 2003, yang mengewapkan nikotin yang dilarutkan dalam cecair propylene glycol. Wap ini sebagai agen pembawa nikotin yang disedut ke dalam paru-paru dan kemudiannya masuk ke dalam aliran darah. Tujuannya untuk memberikan dos nikotin kepada perokok tanpa perlu menyedut asap rokok yang mengandungi bahan kimia berbahaya lain.
Berhenti Merokok
Tujuan e-rokok dicipta adalah untuk menggantikan rokok setelah bapa Hon Lik meninggal akibat kanser paru-paru kerana terlalu kuat merokok. Berikut adalah kajian penggunaan e-rokok yang dilakukan terhadap perokok.

  • Dalam satu kajian terhadap 40 perokok tegar, penyelidik membuat kesimpulan e-rokok dapat mengurangkan keinginan untuk merokok setelah perokok menahan merokok untuk semalaman.
  • Satu lagi kajian terhadap 50 perokok tegar yang mahu mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan merokok, tetapi tidak berhenti sepenuhnya, membuat kesimpulan bahawa e-rokok secara mendadak menurunkan penggunaan rokok tanpa menyebabkan gejala berhenti merokok. 
  • Dalam satu siri kajian kes, e-rokok telah ditemui untuk membantu tiga peserta kajian – yang semuanya mempunyai sejarah percubaan berulang kali namun gagal untuk berhenti merokok dengan menggunakan kaedah bantuan berhenti merokok profesional – berhenti merokok dan terus tidak merokok untuk sekurang-kurangnya 6 bulan .
  • Dalam kaji selidik dalam talian yang dijalankan pada tahun 2010, penyelidik ditinjau pelawat laman web dan forum perbincangan khusus untuk penggunaan e-rokok dan berhenti merokok. Daripada 3,587 peserta, 70% adalah bekas perokok, 61% adalah lelaki, dan umur median ialah 41 tahun. Rata-rata, para peserta menggunakan e-rokok selama kira-kira 3 bulan dan hampir semua daripada mereka menggunakan kartrij yang mengandungi nikotin. 96% mengatakan bahawa e-rokok membantu mereka berhenti merokok, manakala 92% mengatakan bahawa ia menjadikan mereka kurang merokok. Majoriti peserta berkata e-rokok membantu mereka melawan keinginan, menangani gejala, dan mengelakkan mereka merokok semula
Hukum Merokok mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.



Komponen Asas E-Rokok

komponen rokok elektronik-majalahsains
                                                          Sumber-biomedcentral.org

Pada awalnya, e-rokok dibina untuk menyerupai rokok biasa. Namun setelah istilah vapor diperkenalkan, e-rokok mengambil satu identiti yang berbeza daripada rokok biasa.
Rokok elektronik terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu bateri, atomizer danpenyedut. Secara ringkas, bateri membekalkan tenaga elektrik kepada atomizer yang akan memanaskan cecair e-liquid menjadi wap. Pengguna akan menyedut wap ini melalui penyedut.
Terdapat pelbagai model yang boleh didapati pada pasaran hari ini dan biasanya terbahagi kepada dua jenis iaitu elektronik dan mekanikal. Model elektronik mengandungi cip elektronik yang dapat mengawal kuasa elektrik yang dibekalkan kepada atomizer. Manakala model mekanikal pula tidak mengandungi sebarang kawalan namun ianya lebih digemari dan mudah dikendalikan kerana sifatnya yang sukar rosak.

Atomizer
Terdapat beberapa jenis atomizer yang sering digunakan termasuklah cartomizer, clearomizer dan rebuildable atomizer yang masing-masing berbeza dari segi struktur dan penggunaan. Secara amnya, pengguna e-rokok yang menggunakan model ala ego menggunakan atomizer. Atomizer adalah bahagian yang menukarkan cecair e-liquid kepada wap. Ianya terdiri daripada pemanas yang memanaskan e-liquid yang membasahi bahagian yang memegang e-liquid. Biasanya bahagian ini dibina daripada sumbu (wick), dawai besi tahan karat (stainless steel wire) dan jaringan besi tahan karat (stainless steel mesh). Atomizer pula terdapat pelbagai struktur seperti gulungan atas ( top coil ), gulungan bawah ( bottom coil), titisan ( drip ) dan lain-lain.
E-Liquid
E-liquid adalah campuran prolylene glycol (PG), vegetable glycerin (VG, glycol), perasa dan nikotin. Ada juga campuran yang tidak dimasukkan nikotin. Nikotin melarut dengan baik dalam PG manakala VG pula menggalakkan kepekatan wap yang dihasilkan. Perasa yang digunakan adalah perasa makanan yang biasa digunakan dalam produk makanan.




Propylene glycol, PG
US Food and Drug Administration (USFDA), sebuah badan yang memantau makanan dan ubatan di Amerika Syarikat mengkelaskan PG sebagai ‘secara amnya selamat’. PG digunakan sebagai pelembab, pelarut dan pegawet. Ianya digunakan dalam ubat-ubatan termasuklah ubat yang dimakan, disuntik dan disapu. PG telah dibuat kajian tentang tahap bahaya kepada kesihatan manusia, namun hanya pengambilan yang sangat tinggi dan pada masa yang singkat sahaja akan membahayakan kesihatan manusia.

Satu kajian telah dijalankan oleh sekumpulan saintis dengan mendedahkan tikus dan monyet kepada wap proplene glycol berkepekatan tinggi selama 12 bulan hingga 18 bulan. Pemeriksaan terhadap kadar pertumbuhan, fungsi buah pinggang, air kencing, ujian darah dan kesuburan telah dilakukan dan didapati tiada perbezaan yang ketara berbanding dengan kumpulan yang tidak didedahkan kepada wap PG kecuali kenaikan berat badan yang lebih ketara pada kumpulan tikus yang didedahkan kepada wap PG. Pemeriksaan autopsi juga telah dilakukan dan sebarang keadaan yang tidak normal tidak dijumpai. Pemeriksaan paru-paru untuk mencari sebarang kesan daripada PG juga tidak dijumpai. Begitu  juga buah pinggang, hati, limpa dan sumsum tulang adalah normal. Keputusan daripada kajian ini menunjukkan dedahan kepada udara yang tepu dengan wap PG tidak akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan.

Kajian daripada USFDA menunjukkan PG secara amnya selamat digunakan sebagai makanan. Begitu juga Badan Kesihatan di Kanada juga meluluskan PG digunakan dalam bahan tambahan makanan. 
PG digunakan dalam :
  • pelarut atau pembawa perisa atau warna dalam pembuatan makanan dan minuman seperti minuman, kek, biskut dan gula-gula.
  • penstabil makanan
  • inhaler untuk pesakit asma
PG yang memasuki badan akan ditukarkan menjadi asid laktik dan kemudiaannya dikeluarkan melalui urin. 
Vegetable Glycerin, VG
VG adalah bahan yang didapati daripada minyak tumbuhan. Sifatnya yang manis dapat menggantikan gula namun lebih rendah kalori, dan banyak digunakan sebagai bahan dalam kosmetik, makanan, ubat-ubatan dan lain-lain. VG dapat menyerap kelembapan dalam udara yang menjadikannya bahan tambahan dalam makanan untuk mengekalkan makanan supaya lembab. Makanan redah lemak atau rendah gula biasanya menggunakan VG sebagai pemanis kerana ianya tidak menyebabkan kesan drastik kepada kandungan gula dalam darah dan tidak menyebabkan kerosakan gigi malah ianya tidak menjadi makanan kepada bakteria untuk membiak.
  • bahan penjagaan peribadi
  • ubat batuk
  • pemanis rendah kalori
  • ubat gigi
  • ubat-ubatan ( yang dimakan )
  • gula-gula
Perasa
Perasa yang digunakan dalam e-liquid adalah perasa yang digunakan dalam makanan. Terdapat pelbagai perasa seperti tembikai, laici, perasa rokok, anggur dan lain-lain. Perasa ini menambahkan kenikmatan pengguna dan tidak mengotorkan bau udara.
Nikotin
Nikotin adalah bahan yang didapati daripada tumbuhan dan merupakan ubat peransang semulajadi. 0.6% – 3% nikotin dikenalpasti ada dalam daun tembakau kering manakala 2-7 ug/kg dalam tumbuhan lain. Nikotin dapat menyebabkan ketagihan sama seperti ketagihan kepada heroin dan kokain. Nikotin memberi kesan kepada psikologi seperti mampu mengubah mood dan biasanya peransang dan penenang. Nikotin menyebabkan hati mengeluarkan glukosa dan adrenalin yang meransang. Nikotin juga menenangkan, menajamkan fikiran, merehatkan dan meningkatkan fokus. Namun ianya juga mengurangkan selera dan meningkatkan metabolisma. Perokok biasanya mengalami kekurangan berat badan.
Apabila nikotin disedut melalui paru-paru dan terus mengalir melalui darah ke otak, dalam 7 saat akan meransangkan otak mengeluarkan banyak bahan kimia yang meransang saraf. Ianya dapat meningkatkan tumpuan dan ingatan, meningkatkan fokus, meningkatkan nafsu seksual, mengurangkan sakit, mengurangkan kerisauan, meningkatkan kesan dopamine dan meningkatkan sensitiviti otak.
Namun nikotin juga mampu meningkatkan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Pengambilan nikotin dalam jumlah yang tinggi (30mg-60mg) mampu mengakibatkan kematian kepada manusia dewasa.
Namun pengambilan nikotin melalui rokok menyebabkan masalah kesihatan lain yang lebih besar seperti kanser, jantung dan paru-paru.
Perbandingan Dengan Rokok Biasa
Nitrosamine-agen kanser

                                         Rantaian Nitrosamine

Kajian Kesan Rokok Elektronik Terhadap Kesihatan
Terdapat pelbagai tohmahan dan buruk sangka terhadap kesan e-rokok kepada kesihatan pengguna dan orang ketiga. Namun, sehingga artikel ini ditulis, masih terlalu awal untuk menghukum e-rokok sebagai berbahaya kepada kesihatan sehinggalah kajian yang mendalam telah dilakukan. 
Boleh Menyebabkan kanser?
Media massa pernah mendedahkan kandungan wap rokok elektronik yang dikatakan mempunyai bahan yang boleh mengakibatkan kanser. Fakta ini adalah daripada keputusan kajian USFDA sendiri pada tahun 2009. Mereka mendapati agen penyakit kanser yang ada dalam asap rokok juga wujud dalam rokok elektronik. Namun pada tahun 2013, UK National Health Service telah memberikan fakta bahawa jumlah kandungan agen kanser dalam wap e-rokok adalah 1 / 1000 daripada jumlah yang ada dalam asap rokok. Hasil kajian ini mendapati bahan yang sama juga wujud dalam produk gantian nikotin lain yang juga dalam kuantiti yang sama. Kajian daripada badan kesihatan eropah ini juga menunjukkan, dalam kuantiti yang sangat kecil, bahan ini tidak membahayakan dan keputusan awal daripada kajian menyokong kepada pendapat ini.
Menurut satu kajian pada tahun 2012, satu perbandingan antara hembusan asap rokok dan hembusan wap e-rokok telah dijalankan. Kajian ini bertujuan untuk dijadikan asas bagi mengharamkan penggunaan e-rokok di tempat awam. Dua set eksperimen telah disediakan dan tahap pencemaran telah dikenalpasti. Bahan pencemar yang dikenalpasti adalah  VOCs, carbonyls, PAH, nicotine, TSNAs dan glycol. Hasil kajian mendapati udara yang dihembus dengan wap e-rokok adalah bebas dari risiko kanser yang dapat membahayakan kesihatan manusia dewasa mahupun kanak-kanak. Sebaliknya, set yang menggunakan asap rokok telah mencapai had bahaya bagi manusia dewasa
Daripada kajian yang dari Perancis (2013) melaporkan, terdapat kandungan acetaldehyde yang merupakan bahan toksik dalam wap e-rokok yang kandungannya menyamai apa yang ada dalam asap rokok biasa. Namun mengikut kajian daripada Dr. Konstantinos Farsalinos, kandungan bahan toksik ini adalah jauh lebih rendah daripada apa yang ada dalam asap rokok. Dr Forsalinos yang merupakan pakar kardio ( jantung ) telah melakukan kajian terhadap kesan e-rokok terhadap perjalanan darah dalam jantung dan mendapati e-rokok tidak memberikan sebarang kesan yang berbahaya kepada perjalanan darah dalam jantung. Sebaliknya rokok mengurangkan 30% aliran perjalanan darah dalam jantung.
Berbahaya seperti sisha/hookah?
Jika disusun secara menaik antara sisha, rokok biasa dan e-rokok, kedudukan paling bawah adalah e-rokok, dan kemudiaannya rokok berada di tangga kedua dan sisha adalah paling tertinggi. Disimpulkan secara mudah dari segi tahap bahaya kepada dedahan agen kanser, jika e-rokok mengandungi 1 unit bahan tersebut, rokok biasa mempunyai 1000 unit manakala sisha yang dikatakan 400 kali lebih bahaya daripada rokok biasa pula mungkin mempunyai  400, 000 unit. 
Mungkin perbandingan yang wujud adalah dari segi rupa dan baunya yang rata-ratanya berbau buah dan wap/asapnya adalah lebih pekat berbanding rokok biasa. Namun, sisha adalah jauh lebih bahaya dari rokok manakala e-rokok pula jauh lebih selamat berbanding rokok.
Membahayakan Paru-paru?
Kandungan dalam e-liquid adalah bahan yang diwapkan dan masuk kedalam paru-paru. Bahan ini pula adalah bahan yang digunakan dalam inhaler, terapi untuk pesakit athma atau masalah pernafasan akut. Ini membuktikan bahan dalam e-liquid adalah selamat disedut walaupun kepada pesakit yang mengalami masalah pernafasan.
Malah, kajian terhadap tikus dan monyet yang didedahkan kepada udara yang tepu dengan wap PG selama 18 bulan ( 1 setengah tahun ) telah mengesahkan tiada kesan tidak normal terhadap paru-paru selepas autopsi dilakukan. Namun ini hanyalah telahan saya sendiri selepas melihat kepada keputusan daripada kajian para saintis. Fakta yang kuat masih belum didapati dan kajian masih lagi dijalankan.

Namun terdapat kajian terhadap penggunaan e-rokok kepada kumpulan perokok, bukan perokok dan golongan yang mengalami penyakit pernafasan seperti asma. Hasil kajian ini mendapati kualiti pernafasan menurun terhadap kumpulan perokok dan bukan perokok namun tiada perubahan ketara pada kumpulan yang menghidapi penyaki pernafasan.

Undang-undang negara di dunia terhadap e-rokok
  • Di Australia , setiap bentuk nikotin, kecuali untuk terapi gantian dan rokok, sebagai satu bentuk racun. 
  • Di Brazil , penjualan, pengimportan dan pengiklanan apa-apa jenis rokok elektronik adalah dilarang. 
  • Di Kanada , pengimportan, penjualan dan pengiklanan rokok elektronik yang mengandungi nikotin tidak disokong, produk boleh dijual dan digunakan.
  • Di China , penjualan dan penggunaan rokok elektronik adalah tidak dilarang
  • Di Dubai , penjualan dan penggunaan produk tembakau dan rokok elektronik adalah haram. 
  • Di Mesir , Kementerian Kesihatan telah menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran pemasaran rokok elektronik atas alasan bahawa ia mengandungi bahan kimia yang berbahaya.
  • Di Hong Kong penjualan dan pemilikan berasaskan nikotin rokok elektronik, diklasifikasikan sebagai Jenis I Racun, ditadbir di bawah Farmasi dan Ordinan Racun. Penjualan atau pemilikan tidak dibenarkan dan kedua-duanya dianggap boleh dihukum dengan denda sehingga HK $ 100,000 dan / atau penjara 2 tahun. Walau bagaimanapun, undang-undang tidak melindungi apa-apa inhaler bukan nikotin.
  • Di India , penggunaan rokok elektronik kini tidak dilarang. Di bawah undang-undang Kesihatan India tahun 2006, merokok tembakau telah diharamkan di khalayak ramai. Sejak e-rokok mengelakkan penggunaan tembakau, mereka tidak jatuh di bawah undang-undang ini.
  • Di Lebanon , majlis menteri-menteri telah mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik, mulai 21 September 2011. 
  • Di Malaysia , penjualan e-rokok adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk (serta nikotin cecair untuk digunakan dalam rokok elektronik) akan dikenakan denda tidak lebih daripada RM3, 000, dipenjara tidak lebih daripada dua tahun, atau kedua-duanya. Menteri Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa e-rokok mengandungi nikotin cecair adalah lebih berbahaya daripada rokok biasa dan memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya mengelakkannya
  • Di Mexico , jualan dan promosi objek bukan tembakau yang merangkumi unsur-unsur secara amnya dikaitkan dengan produk tembakau adalah dilarang. 
  • Di Nepal , di bawah undang-undang semasa rokok, penggunaan dan penjualan e-rokok adalah dibenarkan.
  • Di New Zealand , rokok elektronik adalah sah dan boleh dibeli daripada tobacconists dan kedai khusus atau online. Ia adalah menyalahi undang-undang untuk menjual katrij nikotin dengan alat-alat elektronik tetapi ini boleh dibeli secara berasingan.
  • Di Pakistan , import dan penjualan rokok elektronik adalah undang-undang, tetapi Pakistan Perubatan dan Pergigian Majlis mendapati bahawa semasa penilaian keselamatan kesihatan e-rokok tidak lagi memuaskan. 
  • Dalam Panama , pengimportan, pengedaran dan penjualan rokok elektronik telah dilarang sejak Jun 2009. Kementerian Kesihatan memetik penemuan FDA sebagai hujah mereka untuk pengharaman itu.
  • Di Singapura , rokok elektronik (e-rokok) kini dilarang di bawah Secion 16 (1) (Kawalan Iklan dan Penjualan) Akta Tobacco, yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA). Undang-undang ini melarang artikel pengimportan, pengedaran, jualan atau tawaran untuk jualan mana-mana produk makanan kuih-muih atau lain-lain atau mana-mana mainan atau lain-lain yang direka untuk menyerupai produk tembakau atau pembungkusan yang direka untuk menyerupai bungkusan sering dikaitkan dengan produk-produk tembakau . 
  • Di Korea Selatan , penjualan dan penggunaan rokok elektronik adalah tidak dilarang, tetapi banyak cukai. 
  • Di Switzerland , penjualan rokok elektronik nikotin bebas adalah dibenarkan. Penggunaan dan pengimportan rokok elektronik yang mengandungi nikotin adalah dibenarkan, tetapi mereka tidak boleh dijual dalam negara. 
Kesimpulan
Banyak negara yang mengharamkan e-rokok masih lagi membenarkan penjualan rokok dalam negara mereka. Terdapat beribu-ribu fakta dan kajian tentang bahaya rokok telah dilakukan oleh saintis dan banyak negara yang berhabis wang untuk pembiayaan pebubatan bagi penyakit akibat daripada rokok, namun masih gagal untuk mengharamkan rokok melalui undang-undang.
Keputusan yang tidak lengkap daripada kajian USFDA banyak mempengaruhi dunia tentang e-rokok. USFDA gagal untuk menyatakan jumlah agen kanser dalam e-rokok yang sangat jauh lebih sedikit berbanding rokok biasa dalam laporannya mengakibatkan banyak kerajaan mengambil keputusan itu sebagai dasar mereka untuk menjatuhkan pengharaman terhadap penjualan e-rokok.
Kajian tentang kesan e-rokok terhadap kesihatan manusia masih lagi diperingkat awal. Kajian lebih mendalam dan lebih lama diperlukan. Namun daripada pemerhatian dan kajian sendiri, saya mendapati banyak testimoni daripada perokok yang benar-benar mahu berhenti merokok telah berjaya samada mengurangkan pengambilan rokok atau terus tidak sentuh rokok setelah bertukar kepada e-rokok.
Akhir kata, penilaian semula perlu dilakukan berdasarkan fakta daripada kajian semasa. Nikotin adalah satu bentuk ubat yang apabila diambil secara berlebihan boleh memudaratkan. Begitu juga bahan-bahan lain dalam e-liquid. Oleh itu, perlu saya tegaskan disini, berdasarkan pemerhatian saya ini, penggunaan e-rokok adalah jauh lebih selamat daripada merokok. Namun, kekuatan fakta ini perlulah dikaji dengan mendalam terlebih dahulu dan perlu memakan masa yang lama.
Foto: Herald-Times